Thursday, October 16, 2008

PETIKAN DARI KOSMO-16/10/2008

Mampukah sejiwa, serasi?

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT

MENERUSKAN gandingan sebagai hos Sehati Berdansa musim kedua, Fahrin dan Linda bertindak penuh profesional.


SEJAK dilaporkan 'putus' biarpun si gadis yang juga pengacara serta penyampai radio terkenal, Linda Onn ini tidak pernah mengaku bahawa dia dan aktor kacak Fahrin Ahmad ada hubungan cinta, bekas pasangan 'teman tapi mesra' ini seperti sudah berkerat rotan berpatah arang.

Seorang ke hulu dan seorang lagi ke hilir. Masing-masing membawa haluan sendiri dan kalaupun bertemu di majlis-majlis tertentu, pastinya tidak lagi duduk semeja.

Dan kelmarin, apabila program realiti TV tarian yang pernah dikendalikan mereka berdua semasa edisi pertama tahun lalu, Sehati Berdansa 2 mengumumkan sekali lagi menggandingkan pasangan yang pernah retak ini untuk berkongsi pentas sebagai pengacara bersama, timbul pelbagai persoalan. Mampukah mereka sejiwa dan serasi sedangkan hati masing-masing pernah bernanah?

Musim pertama Sehati Berdansa dimulai dan diakhiri ketika hati mereka sedang 'riang', itu semua maklum tetapi untuk musim kedua yang bakal disaksikan ramai pada 26 Disember ini, khalayak juga maklum bahawa mereka sebenarnya tidak lagi serasi dan tiada hati untuk berkongsi apa sahaja.


SELAIN Linda dan Fahrin, Awal turut bertindak sebagai hos Sehati Berdansa musim kedua ini.


Seperti luka lama yang berdarah semula, perkara yang semakin cuba ingin dilupakan ini harus dijalani semula. Namun, atas dasar profesional dan rasional dengan kepercayaan yang dipikul, Fahrin bukan jenis lelaki yang panas dan mahu bertindak ikut rasa.

"Kalau saya cakap yang saya seorang yang profesional, maknanya saya profesional depan dan belakang. Atas apa yang berlaku (peribadi), saya sebenarnya kecewa dengan situasi sebelum ini.

"Saya juga minta maaf jika apa pihak yang kecewa kerana saya yang dipilih sebagai pengacara Sehati Berdansa 2 ini," luah Fahrin memahami jika isi hatinya ingin dikorek dengan lebih mendalam.

Soal kolaborasi kali ini yang menentukan impak Sehati Berdansa di mata penonton, Fahrin dengan rendah hati menjelaskan.


PASANGAN Ani Mayuni dan Zairi.


Katanya: "Benda ni dalaman, kalau ada hati yang jernih orang akan nampak. Saya seorang pelakon, saya anggap ini watak yang harus saya jayakan. Tapi hakikatnya, bahasa tubuh dan air muka tidak boleh menipu. Tentang pandangan orang, akan ada orang akan sedar, kerana sedikit-sebanyak mungkin saya jenis yang tak pandai menipu."

Menerima tawaran ini daripada Astro, Fahrin sebenarnya berterima kasih kerana kerjanya selama ini berbekas di mata semua. Janji Fahrin, kepercayaan Astro tidak mahu dipersiakan.

Ditanya sama ada Sehati Berdansa kali ini akan memulihkan hubungan tegang selama 'krisis' berlangsung, Fahrin yang tidak mahu memperincikan maksudnya sekadar meluahkan: "Saya tidak boleh jawab soalan ini, tapi saya boleh bagi jaminan, saya akan muncul tanpa ada apa-apa perasaan dendam kerana saya mahu ambil tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan kepada saya."

Fahrin menegaskan, dia percaya kejayaan Sehati Berdansa 2 kelak bukan hanya ditentukan 100 peratus oleh pengacara tetapi seluruh krew produksi dan peserta terlibat.

Akhiri Fahrin, perkara yang privasi dan sulit, seharusnya bersifat begitu.


MUNGKINKAH gandingan pasangan pelakon Lisdawati dan Fauzi Nawawi bakal menjuarai Sehati Berdansa 2.


Tidak adil jika hanya membiarkan Fahrin mengemudi persoalan ini sendirian. Hos gandingannya, Linda yang tidak pernah lekang senyuman di bibir ini diambil keterangan.

Meleraikan persoalan yang seolah-olah kembali berkocak, Linda masih bertegas dengan prinsip yang dijunjung. Ujarnya, sejak dulu lagi, dia dan Fahrin hanya berkawan, jadi sekarang, antara dia dan Fahrin tidak wujud sebarang konflik.

Soal keserasian adalah soal dalaman yang hanya boleh diketahui dan boleh diatasi oleh tuan empunya badan.

"Saya tak boleh nak hentikan segala tanggapan orang lain walaupun hati saya sebenarnya berdarah. Apa yang saya luahkan sebelum ini dan tulis dalam blog adalah memang soal peribadi yang memang kena-mengena dengan dengan saya. Kalau di situ juga ada sekatan, saya tak tahulah.

"Tapi saya sedar, saya tidak boleh terlalu personal dalam meluahkan soal hati dan perasaan, takut akan disensasikan," jelas Linda yang tidak gentar untuk bekerja dengan Fahrin dalam musim kedua Sehati Berdansa ini.


MAZIN bersama isterinya, Ida.


Tidak mahu persoalan ini berjela-jela sedangkan ada tugas besar menanti untuk dijayakan, beritahu Linda, pegangannya jelas.

"Saya jadi semakin kuat dan kembali bersemangat dek banyak perkara yang terjadi. Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja yang harus saya selesaikan. Jadi kerja sahajalah. Tolak tepi segala hal peribadi.

"Kalau boleh, janganlah perkara itu disensasikan kerana kami datang ke sini kerana kerja," jawab Linda penuh semangat.

Sensasi Sehati Berdansa 2

Daripada kenyataan kedua-dua Linda dan Fahrin tersebut, awal-awal lagi program Sehati Berdansa sudah memercikkan tanda-tanya. Mungkin ini juga satu daripada resipi yang menjadikan menu Sehati Berdansa yang turut dihoskan oleh Awal Ashaari ini sedap ditonton tidak lama lagi.


PRODUK kelahiran program realiti nyanyian, Akademi Fantasia, Khai dan Rosma kini mencuba nasib menerusi program realiti TV tarian pula.


Berbanding Linda dan Fahrin yang bertugas sebagai hos Malam Sehati Berdansa dan Debaran Sehati Berdansa setiap Sabtu dan Ahad, Awal pula masih meneruskan agendanya seperti pada musim pertama iaitu mengendalikan rancangan Detik Sehati Berdansa yang mendekati sesi latihan serta kesukaran para peserta memenuhi tuntutan tema tarian setiap minggu.

Untuk musim terbaru ini juga, Awal diberikan dua lagi tugasan tambahan. Selain Detik Sehati Berdansa, dia juga terlibat dengan dua buah program sampingan iaitu episod pengenalan program ini, Kenali Sehati Berdansa yang akan bersiaran pada 18 dan 19 Oktober nanti serta program penutup, Memori Sehati Berdansa yang dijadualkan tayangan pada 3 dan 4 Januari 2009.

Sesuatu yang mengejutkan juga, kerana jadual kerja yang menuntut komitmen yang banyak ini, Awal mengumumkan bahawa dia terpaksa menarik diri daripada terlibat dengan Impak Maksima The Musical.

"Saya terpaksa buat keputusan untuk melepaskan watak Ayie menerusi teater berkenaan memandangkan masa dan jadual kerja yang tidak mengizinkan. Saya juga belum bersedia untuk berlakon di pentas teater, rasa belum mampu," umum Awal ketika sidang media Sehati Berdansa 2 di ibu negara, Selasa lepas.


AMYZA dan suaminya, Khairil.


Untuk musim kedua program realiti tarian ini, seramai 10 pasangan baru dipilih sebagai peserta yang mewakili rumah kebajikan masing-masing.

Mereka terdiri daripada pasangan pelakon Amyza Aznan dan suaminya, Khairil Izhar yang mewakili Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, Ani Mayuni dan Zairi Azmi (Majlis Kanser Nasional), Ashed Def Gab C dan Sharifah Noor Shima (Persatuan Pencinta Alam Malaysia), Jamal Jamaludin dan Noor Faridah (Pusat Kebangsaan Autism Malaysia) dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia).

Lima lagi pasangan yang turut serta termasuklah Mazin Ameen Siraj serta isteri Ida Chairunisa yang mewakili Persekutuan Orang Pekak Malaysia), Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam), Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Sasha dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia) dan pasangan yang terakhir adalah Noraini Morat serta suaminya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Shahril Arsat yang menari untuk Yayasan Jantung Negara.

BERITA HARIAN 16/10/2008-CERITA LINDA

Kembali berdansa

Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my


Fahrin dan Linda.

Masih berdendam?: Nampak ceria tetapi mungkinkah hos Sehati Berdansa ini, Fahrin Ahmad dan Linda Onn, sekadar melakukannya di depan kamera?

MAHU atau tidak, persembahan untuk mengacara bersama di dalam program Sehati Berdansa musim kedua mesti diteruskan atas paksi profesionalisme. Perang dingin secara diam antara bekas 'teman tapi mesra', Fahrin dan Linda Onn nampaknya belum surut biarpun kisah mereka sudah terpahat dalam lipatan sejarah kehidupan masing-masing dan masih diperkatakan ramai pihak. Hakikatnya, siapa tahu mungkin antara Linda mahupun Fahrin sebenarnya sedang menahan duka, terasa hati atau senang dikelaskan sebagai 'makan dalam hati'

Ada yang beranggapan Linda dan Fahrin sudah mampu 'berdansa' atau dalam erti kata lain mampu mengacarakan program ini, cuma mereka dilihat tidak sehati. Bayangkan tulisan blog Linda yang secara bergurau menulis Sehati Berdansa bertukar menjadi Sehati Berdarah juga diandaikan dendam antara mereka belum terhakis.


Sewaktu melihat sedutan mempromosikan program realiti berorientasikan tarian yang membabitkan pasangan suami isteri di kalangan selebriti ini semasa sidang media pada 14 Oktober lalu, jelas kelihatan jarak kedudukan Fahrin dan Linda sedikit jauh mengukuhkan lagi mereka sebenarnya mungkin masih lagi menyimpan dendam. Bagaimanapun itu hanya andaian semata-mata, kerana hanya empunya badan yang mampu menjawab.

Baik Linda mahupun Fahrin, mereka akan cuba sehabis baik untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan pihak Astro untuk meneruskan kesinambungan dan ledakan yang diterima sejak program ini disiarkan pada tahun lalu. Kata mereka, biarlah soal peribadi tidak dicampur aduk dan masing-masing kena bersikap profesional dan matang sekali gus menceriakan program ini.

"Terima kasih kepada pihak Astro dan tenaga kerja Sehati Berdansa kerana masih memberi kepercayaan untuk saya menjadi hos biarpun saya kecewa dan ralat dengan apa yang berlaku di belakang saya sebelum ini. Mengenai apa yang patut saya tahu tetapi tidak, orang lain yang lebih tahu. Bagi saya, soal profesional akan diutamakan tidak kira sama ada di belakang kamera atau di depan kamera," ungkap Fahrin yang riak wajahnya kelihatan emosional seketika hingga mengundang tanda tanya.

Awal Ashaari, Linda dan Fahrin.

'Jangan guna blog untuk serang saya'

ENGGAN dibiar tergantung, Hip mendapatkan Fahrin sejurus sidang media Sehati Berdansa Berakhir bagi meleraikan apa sekali alasan yang mengusutkan jiwa dan mengecewakan hati jantan bertubuh sasa ini. Jika sebelum ini, Fahrin lebih selesa berdiam diri dan hanya bercakap apabila perlu, saat itu, Fahrin tergerak hati untuk meleraikan sedikit rasa gundah gulana di sanubarinya mencengkam jiwa yang amat pedih.

Semuanya bertimbal balik kepada kenyataan Linda Onn bertubi-tubi sebelum ini, yang merasakan bagaikan 'tertipu' kerana pada mulanya dia bakal digandingkan dengan hos lain dan bukannya dengan Fahrin. Bagi Fahrin, dia melihat soal sulit dan peribadi sesuatu perkara sewajarnya tidak dihebahkan sebelum masanya.

"Saya tekankan saya adalah seorang manusia yang sangat profesional apabila bercakap mengenai aspek itu sendiri (merujuk kepada istilah profesional sendiri). Apabila saya berdiam diri, ada pihak lain yang cuba mengeruhkan keadaan di luar pengetahuan saya. Ya, saya sedikit kecewa dengan hal ini kerana paling jelas semakin hampir program ini bersiaran, kedudukan saya sebagai hos bagaikan sedikit tercalar.

Mungkinkah mereka masih belum berdamai?

"Saya minta maaf, andai perlantikan saya sebagai hos program ini mengecewakan hati pihak lain. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan dia (merujuk kepada Linda Onn) itu sebenarnya tidak patut timbul sedangkan isu siapa sekalipun yang bakal menjadi hos sepatutnya menjadi sulit dan peribadi sebelum ia dihebahkan kepada umum. Itu satu tindakan yang tidak profesional dan saya sendiri hairan kenapa isu itu boleh tersebar. Isu itu sepatutnya tidak patut keluar daripada mulutnya.

"Saya jenis orang yang mudah, kalau saya jadi pilihan ke 10 sekalipun untuk menjadi hos, saya tetap akan lakukan demi satu tanggungjawab. Saya bukan jenis yang bersikap profesional hanya pada kenyataan saja, sebaliknya pada tindakan juga," ungkap Fahrin yang juga mengacarakan program Gadis Melayu di TV9.

Fahrin juga melihat setiap kenyataan yang terbit daripada Linda termasuklah penulisannya di dalam blognya, www.linda.blog.era.fm sebagai satu serangan yang bersifat peribadi dan sebagai manusia biasa, Fahrin tidak cepat melatah.

Menurut Fahrin, mandat sudah diamanahkan kepadanya untuk menghidupkan program Sehati Berdansa. Apa terjadi, Fahrin berjanji untuk mengacara sebaik mungkin biarpun terbit resah di hati mengenai keserasian yang bakal terpancar di antara mereka.

"Sekali lagi, jika saya mengundang masalah kepadanya dengan menjadi hos bersama, saya minta maaf. Cuma saya lihat dia agak kurang profesional dan agak kebudak-budakan apabila menjadikan medium blog sebagai peluang untuk menyerang secara peribadi. Saya tidak marah dengan apa yang tertulis di dalam blognya, kerana saya bukan manusia yang cepat marah.

"Fahrin tetap Fahrin. Saya tidak akan hipokrit dan akan terus melaksanakan tugas yang diberi. Apa yang saya fikirkan kini ialah untuk terus memberikan persembahan yang terbaik dalam aspek pengacaraan. Semua ini demi kebaikan Sehati Berdansa dan kerjaya saya sendiri," kata Fahrin yang agak kecewa melihat Linda berdepan dan menangani media terutama cara dia menjawab pertanyaan media.

'Hal rumah tangga usah bawa masuk pejabat'

KATA Linda penuh simbolik, hal rumah tangga usahlah dibawa masuk ke pejabat. Katanya lagi, kontroversi yang terjadi sudah disensasikan ramai pihak dan apa yang seharusnya dilakukan ialah melangsaikan tanggungjawab yang dipikul sebagai hos Sehati Berdansa.

"Terima kasih kepada pihak Astro yang sudi memanggil saya buat kali kedua. Biarlah hal peribadi di tolak ketepi. Apa yang penting ialah soal kerja, tidak kiralah sama ada di depan kamera mahupun di belakang kamera, perbincangan, mesyuarat atau apa sekalipun yang membabitkan program ini, saya dibayar gaji untuk bekerja," ungkap Linda memulakan bicara.

Bagi Linda, dia tidak mempunyai masalah untuk mengacara program ini kerana sejak musim pertama dia sudah digandingkan dengan Fahrin. Menurut Linda, masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan dan dikehendaki. Menafikan ada perasaan kekok antara mereka, Linda menjelaskan apa yang ditonton penulis berhubung sedutan promosi program ini yang mengatakan posisi kedudukan mereka agak jauh daripada biasa seperti cuba menjauhkan diri, akui Linda, semua itu hanyalah tafsiran perasaan masing-masing.

Berpaksi kepada kehidupan nyata, Linda masih tegar dan kuat menjalani kehidupan serta berkat sokongan insan-insan paling rapat dalam hidupnya, dia masih 'bernyawa'.

"Antara saya dan dia (Fahrin) memang tiada masalah. Yang berlalu biarkan ia terus berlalu. Saya sudah lupakan semua yang terjadi. Hanya masyarakat dan pihak tertentu saja yang masih meletakkan tanggapan kami masih dilihat berpatah arang, berkerat rotan. Hidup masih kena diteruskan dan saya akan lakukan yang terbaik untuk program ini dan kehidupan mendatang.

"Sesudah apa yang saya hadapi dan depani apabila kisah peribadi disensasikan pihak media dan dipaparkan di alam maya, saya akui itulah saat yang sukar untuk saya. Orang menghentam saya seolah-olah saya tidak mempunyai hati dan perasaan. Saya bukan jenis manusia yang gemar berkongsi hal peribadi. Lagi berdiam diri, lagi teruk saya dihentam.

"Alhamdulillah, saya kumpul semangat dan dorongan keluarga, peminat dan teman-teman menjadi kekuatan meneruskan segala-galanya. Saya tak boleh menutup mulut orang untuk terus berkata-kata, sudah dijelaskan pun tiada guna. Saya buat saja bahagian (kerja) saya. Saya lebih berdiam daripada bercakap tidak tentu pasal biarpun hati ini tetap makan dalam," kata Linda yang yang akan bercuti selama seminggu di Indonesia.

Ditanya apakah Linda menjadikan saluran blognya sebagai senjata serangan untuk menyindir sesetengah pihak, Linda menjelaskan dia tidak mempunyai niat terselindung sebaliknya hanya sekadar mahu berkongsi diari kehidupannya bersama peminat dan pengunjung blog.

"Blog bagi saya lebih bersifat peribadi untuk saya kongsi apa saja yang terjadi di dalam hidup. Blog itu mencerminkan diri saya sendiri dan apa yang ingin saya luahkan untuk tatapan bersama. Kalau di blog sendiri juga ada sekatan, lebih baik saya tidak menjadi blogger. Saya tiada niat atau agenda lain dengan menulis blog," kata Linda.

INFO: Sehati Berdansa

  • Sehati Berdansa musim kedua akan mula disiarkan di Astro Ria dengan episod pengenalan Kenali Sehati Berdansa mulai 18 dan 19 Oktober ini. Persembahan sulung 10 pasangan selebriti yang terbabit dapat disaksikan pada 26 Oktober, secara rakaman setiap hari Sabtu.

  • Keputusan pasangan mana yang bakal tersingkir akan diumumkan secara langsung dalam Debaran Sehati Berdansa pada setiap hari Ahad.

  • Selain Linda Onn dan Fahrin sebagai hos utama, Awal Ashaari juga dikekalkan sebagai hos bagi Di Sebalik Sehati Berdansa, Kenali Sehati Berdansa dan Memori Sehati Berdansa.

  • 10 pasangan selebriti yang terbabit pada musim kedua ini ialah Amyza Adnan dan Khairil Izhar, Ani Mayuni dan Zairi Azmi, Asheed Def Gab C dan Sharifah Noor Shima, Jamal Jamaludin dan Noor Faridah, Khai dan Rosma, Mazin dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin, Sasha dan Salyo, dan juga Sharil Arshat dan Noraini Morat.

Sunday, October 12, 2008

PETIKAN CERITA LINDA DARI AKHBAR

Linda-Fahrin Berdansa tapi tak Sehati....

Apa reaksi Linda mendapat tawaran mengacarakan Sehati Berdansa musim kedua ini?

LINDA: Mula-mula saya diberitahu akan digandingkan dengan seseorang dalam rancangan itu. Saya kata okey. Tak ada masalah. Yang saya terkejut saat-saat akhir produser beritahu gandingan saya tak jadi. Mereka terpaksa ambil orang lain. Saya terkejutlah kenapa artis itu tak jadi?

Bila dapat tahu Fahrin yang ganti terkejut tak?

Taklah. Tak rasa apa pun. Memang musim lepas saya digandingkan dengan dia dalam rancangan itu. Cuma bila orang yang sepatutnya jadi hos tak dapat, itu saja yang terkejut sikit.

Takkan sikit pun tak terkejut?

Memang tak ada. Lagipun nak kisah apa sangat. Apabila kita perlu melakukan sesuatu perkara itu dengan profesional, kita buatlah. Tak susah pun.

Dah jumpa Fahrin? Rancangan ini dah nak mula tak lama lagi.

Dah. Sebelum ini memang kami dah jumpa untuk buat rakaman promo, sesi fotografi dan sebagainya. Tapi bila di hadapan kamera, kita kena buat profesional. Kalau lepas habis penggambaran, buat hal masing-masing sajalah.

Apabila kita digandingkan sebagai pengacara, tentu saja kolaborasi itu memerlukan kita untuk berbincang. Bagaimana dengan Linda?

Seperti yang saya katakan, dalam hal kerja memang tak salah untuk kita berbincang. Itu sudah kemestian kerana kita nak pastikan rancangan itu kelihatan menarik. Tapi kalau tak ada kena mengena dengan kerja, tak payahlah nak bincang apa-apa.

Sebagai pengacara, mungkin Fahrin akan minta pandangan Linda untuk membantunya menjadi pengacara terbaik dalam rancangan itu nanti?

Musim yang pertama dulu dia tak pernah minta pandangan pun. Saya rasa yang kali kedua ni dia tak akan buat macam tu.

Ada orang kata Linda akan terbawa-bawa emosi dan kemarahan sebab ada sejarah hitam hubungan Linda dan Fahrin. Komen sikit!

Tak akan ada punya sebab saya sudah diberitahu awal. Jadi dari awal-awal lagi saya sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam rancangan ini. Bila ada tawaran saya tak perlu tolak hanya kerana masalah lepas. Saya sayang Sehati Berdansa kerana saya menjadi pengacara pertama. Tapi kalau orang nak buat tafsiran mengenai kisah peribadi, itu pandangan masing-masing. Saya no comment. Saya selalu pesan dalam diri saya supaya elakkan masalah peribadi ketika bekerja.

Mungkin akan nampak ketidakserasian di antara Linda dan Fahrin nanti?

Saya dah banyak buat rancangan TV. Kadang-kala dalam sesebuah rancangan tu saya tak selesa tapi hanya saya sendiri saja tahu tapi Alhamdulillah, orang lain tak nampak.

Apa yang hendak Linda katakan kepada Fahrin terhadap gandingan ini?

Rasanya tak ada nak cakap apa-apa.

Fahrin terkejut apabila nak digandingkan dengan Linda?

FAHRIN: Tak terkejut dan berterima kasih kerana terpilih lagi. Saya terima tawaran itu dan akan buat yang terbaik secara profesional.

Fahrin mampu buat?

Saya kenal diri saya dan saya tahu di mana saya berpijak. Tak ada sebab saya tak mampu nak kendalikan rancangan itu. Lagipun saya fikir juga, saya cari makan dalam bidang ini. Saya kena berlaku adil dengan diri saya dan buat yang terbaik.

Ada kelemahan yang Fahrin kesan dalam Sehati Berdansa masa musim pertama dulu?

Saya percaya kali kedua haruslah lebih baik dari yang pertama. Banyak ruang yang perlu saya perbaiki. Tapi kali ini dengan sokongan artis yang bertanding dan semua pihak, rancangan ini akan jadi lebih meriah.

Bagaimana pendirian Fahrin mengenai hubungan dengan Linda? Apatah lagi nak digandingkan pula dalam satu program.

Saya selalu kata yang saya ni seorang yang fleksibel. Kalau saya kata profesional, saya memang akan profesional. Sebenarnya saya ikhlas dan reda terhadap sesuatu perkara yang terjadi kepada saya. Saya bukan jenis orang yang bercakap sesuatu perkara pada hari ini tetapi kemudian hari tunjuk sikap yang sebaliknya. Dalam erti kata lain kita kata kita memaafkan seseorang tetapi sebenarnya di hati tak macam itu.

Ada jumpa Linda?

Ada. Masa bulan puasa lalu masa buat promo Sehati Berdansa. Kami jumpa dan buat tugas dengan baik. Saya juga tak ada masalah untuk bekerjasama dengan Linda kerana saya tahu pengalaman dia memang hebat daripada saya. Jadi dalam hal ini saya yang perlu mendapat bimbingan dia.

Adakah Sehati Berdansa ini akan memulihkan ketegangan anda berdua?

Tak boleh nak jawab soalan ini. Tapi saya boleh bagi jaminan, saya akan hadir dalam keadaan hati saya yang sangat jernih. Saya akan muncul tanpa ada apa-apa perasaan dendam kerana saya mahu ambil tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan kepada saya. Saya juga percaya kalau kita kata kita ni profesional tapi pada dasarnya tidak, wajah dan bahasa tubuh itu akan memberi gambaran tersebut. Ia tak boleh menipu. Nanti orang akan tahu juga.

Apa harapan selepas digandingkan semula dengan Linda?

Bukan saja kepada Linda tapi kepada semua team produksi dan juga peserta yang bertanding supaya jadikan Sehati Berdansa ini fenomena terbaik untuk musim ini.-PANCAINDERA@MINGGUAN MALAYSIA 12/10/2008-


Linda komen isu kemenyan dalam kereta
Oleh Zubir Mohd Yunus

"Kemenyan dalam lighter ni..."

Penyampai radio popular tak mahu tuduh sesiapa, tapi percaya kewujudan makhluk halus

“SEBENARNYA kisah kemenyan dalam kereta Linda ni dah lama berlaku, kalau tak silap Linda sekitar Ogos lalu, sebelum masuk Ramadan. Tapi, kisah mengenainya Linda masukkan menerusi blog dalam bulan puasa, baru-baru ini. Linda bukan perokok, Linda juga tak pernah guna alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta, tapi nak dijadikan cerita, suatu hari tu, kawan Linda tumpang kereta Linda, dia ni seorang perokok. Dia nak hisap rokok, tapi tak ada lighter. Linda pun tekan alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta. Ketika itu kereta tak bergerak, berhenti tepi jalan.

Selepas beberapa minit, Linda dan kawan Linda terhidu bau kemenyan! Bau kemenyan semakin lama, semakin kuat. Selepas diamati dari mana datangnya bau itu, ia berpunca dari alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta Linda. Linda pun cabut alat pemanas pencucuh rokok itu. Alangkah terkejutnya Linda apabila mendapati deretan batu kemenyan sedang terbakar, batunya mencair menggelegak, meletup-letup! Apa lagi, asap kemenyan terus merebak satu kereta, bau kemenyan di merata-rata tempat dalam kereta. Melihat keadaan itu, Linda terfikir sejenak, macam mana batu kemenyan boleh berada dalam kereta Linda?

Linda tak sedap hati, sampai saja di rumah, Linda periksa kereta yang lagi satu. Sebaik saja alat pemanas pencucuh rokok di dalam kereta itu Linda tekan, bau kemenyan pun keluar! Selepas Linda cabut alat berkenaan, sekali lagi Linda perhatikan keadaan yang sama berlaku, batu kemenyan ditabur sekeliling alat pemanas pencucuh rokok itu, sama seperti dibuat pada kereta pertama.

Kesan kemenyan pada lighter kereta Linda.

Perkara pertama yang berlegar di fikiran ketika itu, siapa punya kerja ni? Apa niat orang yang buat kerja macam ni? Bau kemenyan kuat sangat ni, berasap. Bau busuk satu kereta Linda! Anyway, Linda fikir positif saja. Linda sentiasa berdoa pada Tuhan, kalau ada sesiapa yang buat tak baik pada Linda, Linda minta diterbalikkan perkara yang tak baik tu kepada pihak berkenaan.

Kemenyan bukan isunya sekarang ini, tapi isunya ialah salah guna kemenyan itu ialah untuk melakukan amalan sihir terhadap orang lain. Tidak ada hadis melarang menggunakan kemenyan, tetapi ada hadis memberitahu bahawa syaitan, iblis dan jin jahat suka kepada najis dan bau-bau busuk.

Justeru, setahu Linda, pengamal ilmu sihir menggunakan kemenyan untuk memanggil syaitan supaya mengganggu orang tertentu. Pendapat yang mendakwa kemenyan adalah makanan syaitan bukanlah daripada al-Quran atau hadis, tapi ia juga adalah pendapat alim ulama kerana ia digunakan untuk menyeru syaitan.

Ada orang nak sihir Linda?

Masalahnya sekarang, ada pihak yang cuba mengenakan ilmu sihir ke atas Linda, mungkin kerana dengki, mengacau, geram atau sebagainya, entahlah... Perkara ini memang wujud. Tapi Alhamdulillah, Linda sedar awal. Harap Tuhan melindungi Linda dan seisi keluarga.

Perkara terakhir yang Linda fikir, macam mana nak bersihkan kemenyan dari alat pemanas pencucuh rokok ni, sekali gus menghilangkan bau kemenyan yang kuat. Sebelum Linda berbuat apa-apa, Linda telefon seorang ustaz. Dia memberitahu, ada pihak yang berniat tertentu terhadap diri Linda.

Linda benar-benar terkejut, pelik pun ada. Sebelum ini, tidak ada orang lain yang menggunakan atau meminjam kedua-dua kereta Linda, kunci kereta sentiasa berada di tangan Linda. Lagipun, kedua-dua kereta ini sentiasa ditempatkan di laman rumah Linda setiap waktu malam. Jadi, macam mana ada pihak boleh letak kemenyan berkenaan dalam kereta?

Linda rasa, kemenyan itu sudah melekat lama di alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta. Tapi, Linda tak perasan sehinggalah Linda tekan alat pemanas pencucuh rokok itu.

Percaya kewujudan ‘mandrem’

Justeru, apabila berlakunya insiden seperti ini, bila-bila masa kita boleh syak sesiapa saja yang melakukannya, tapi amalan itu tidak sihat. Kita tidak boleh tuduh melulu tanpa bukti kukuh. Sekarang ini, kemenyan itu sudah pun dibersihkan dari alat pemanas pencucuh rokok berkenaan, bau pun dah hilang.

Tujuan Linda memasukkan cerita ini di dalam blog supaya orang ramai tolong jangan percaya kepada kemenyan. Semuanya adalah syirik, hukumnya berdosa besar! Namun, iktibar daripada kejadian itu, Linda perlu lebih berhati-hati, bukan saja dalam kereta, sebaliknya di rumah mahupun di tempat kerja.

Bukannya Linda nak percaya kepada benda-benda halus ini, tapi segala apa yang kita lakukan, perlu berwaspada. Linda percaya kepada kewujudan makhluk halus, ‘guna-guna’ atau ‘mandrem’ yang ‘dihantar’ pihak tertentu kepada seseorang dengan niat tertentu. Namun, Linda sentiasa berdoa setiap kali selepas sembahyang, minta dijauhi perkara-perkara yang dilaknati Tuhan.”

Rujuk semula dengan Fahrin?

Sebaik saja Linda menerima tawaran daripada Astro untuk mengacarakan Sehati Berdansa musim kedua (SB2) bersama Fahrin (Ahmad), Linda perlu bersikap profesional sekalipun bermacam-macam cerita orang bercakap mengenai hubungan Linda dan dirinya sebelum ini.

Orang kata Linda terkedu apabila mendapat tahu pasangan Linda, Fahrin dikekalkan, perkara itu tak pernah terjadi. Apa yang Linda fikir, Astro membuat tawaran, rezeki buat Linda. Lagipun SB adalah my baby show. Linda sudah menjayakannya pada musim pertama, justeru Linda ingin mengulangi kejayaannya pada musim kedua ini.

Segala soal peribadi, Linda tolak tepi. Bagi Linda, jangan sesekali memasukkan soal peribadi di tempat kerja. Linda dan Fahrin hanya berkomunikasi membabitkan hal-hal kerja, out of camera, kami buat hal masing-masing. Linda harap sangat dengan peminat di luar sana, janganlah bercakap lagi hal Linda dan Fahrin selepas ini, tolonglah...

Dalam erti kata lain, Linda minta sangat-sangat, jangan kaitkan kisah silam antara Linda dan Fahrin dalam pembikinan SB2 yang akan bermula sedikit masa lagi.”

Masih solo!

Linda sedar apabila Linda membawa teman lelaki ke majlis perkahwinan rakan sekerja Natasha Aimee baru-baru ini, ramai yang membuat pelbagai spekulasi, termasuklah mendakwa pemuda berkenaan ialah teman istimewa Linda.

Tapi, terus-terang Linda beritahu, pemuda berkenaan bukanlah seseorang yang istimewa di hati Linda seperti mana yang digembar-gemburkan.

Sehingga saat ini, Linda masih solo! Tidak terikat dengan sesiapapun...”

INFO: Linda Onn

  • NAMA PENUH: Rozlindah Onn

  • TARIKH LAHIR: 26 November 1977

  • ASAL: Johor Bahru, Johor namun dilahirkan di Singapura

  • KERJAYA: Memulakan kerjayanya di Best 104.1 sebelum bersama Era.FM hingga kini

  • PENCAPAIAN: Penyampai Radio Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2001 hingga 2006

  • PROGRAM TV: Tanya Linda (Astro Ria) dan Sehati Berdansa (Astro Ria)

  • FILEM: Soal Hati, Soalnya Siapa, Gila Bola dan Biar Betul

  • DRAMA: Dilema Wanita, Datin Diaries dan Semperit Lagi

  • DUTA: Oto dan Power Root

  • PERNIAGAAN: My Mom's Chicken Rice (MMCR) - Cita rasa Linda Onn
  • -BIPOP@BERITA MINGGU 12/10/2008-

    THE MAKING OF......

    Life is short ! Enjoy it ! :-)

    Hehe...Pada hari Jumaat lepas,Linda sangat happy sebab signage untuk restoran MY ASAM PEDAS SHOP dah naik . Besar tuuuuu !! 2 tingkat !

    Jom,kita tengok 'The Making Of..' signage ni....

    Seperti yang ku katakan ....Life is short !! Enjoy it !!! Hehehe...sebelum digantung,baik Linda posing dulu...esok dah gantung,takde can nak buat camni...:-)

    Merahnya bibir Mak Ngah....hehe..

    Look !!! Linda baring atas badan Linda sendiri ! Best nyerrrr....

    OK,here comes the MONSTER !! Aduhh...Pantang tengok Linda bersenang lenang budak ni...

    Dia tengok Mummy dia baring-baring,dia pun join laaa...

    OK,cukup..cukup...diorang dah nak gantung dah ni....Jom !

    Kesian abang ni... Tak gayat ke bang ?

    Then....

    Siap dah.... Berjam-jam jugak diorang pasang signage ni....

    OK....Signage MAPS dah siap...Linda kembali ke alam realiti....On air laaa weyyy ! Nanti bos bising !

    U all semua,Linda jemput datang try makanan kat MAPS ye.. (sebelah TESCO Ampang, MRR2 hiway) .. Cya ! :-)

    KEHIDUPAN LINDA DI HARI SABTU

    Kalau orang tanya Linda..Hujung minggu biasanya Linda buat apa,kemana? Hmmm...my life is so boring,u know! Kalau tak kat rumah,kat restoran,atau kat ERA....paling busuk,kat shopping complex. So,Saturday ni,Linda tak plan kemana-mana.

    Lepas Linda bersiap nak ke restoran,Linda main-main dulu dengan anak kawan Linda,si Nomma lah. Nomma tidur rumah Linda beberapa hari ni. Dia masih dalam pantang. Habislah baby Faiqah...mummy Linda kerjakan...hehe..

    Bawah : Sebelum keluar rumah,Linda mandikan Faiqah dulu...kenitnya budak ni...

    Pastu...siapkan dia...

    Haaaa....untuk mengelakkan bayi kembung perut,gunakanlan minyak Yu Yi Cap Limau...cehhh...iklan sehhhh...hehe..

    Yeehhhhhh.....baby dah siap !! Wangi !

    Lepas tu,barulah Linda ke restoran MY ASAM PEDAS SHOP... Signage restoran ni baru pasang semalam.

    Nanti Linda masukkan gambar dan cerita 'The Making of MAPS Signage' ni ye...

    Itulah kehidupankan hari Sabtu kuuuuu..... :-) Cya !

    LINDA BIKIN RAMBUT

    Menunggu adalah satu penyeksaan...tambah pula orang yang jenis tak sabar menunggu...MACAM LINDA !! Tadi Linda boring,tak tau nak kemana. So, Linda pergi ke salon rambut ..buat treatment...salon favourite Linda kat Ampang Point. Bikin rambut..hehe..

    Nak tau tak Linda duduk kat kerusi ni berapa lama ? 4 jam setengah !! Sakit sehhh tongkeng Linda..

    Bawah ni,kira baru jugak ah start...

    Bila dah masuk jam yang kedua...Uhhhh...tak sanggup lagi...Lapar! Apa lagi order makan lah ! Nasib baik salon ni,macam dah jadi salon Linda sendiri. Dah 6 tahun Linda ke salon ni..

    Mula-mula makan bubur Mac D...tak cukup..makan ayam plaks..

    Gambar yg kiri ni,macam alien kan? Yang kanan ni plak,dengan Lina,dia ni lah yang pegang rambut Linda bertahun-tahun lamanya... Gambar ni,kira rambut dah nak siap lah ni... Cepatlaaa Lina...penatlah duduk...

    OK siap... Walaupun diriku tersenyum manja di hadapan kamera tetapi tongkeng ku...tuhan saja yang tahu betapa sakitnyaaaaaa !! Auwwwchhhh !! Lama tuuu duduk !

    Jom buat iklan rambut.. hehe.. Balik je rumah,nampak di comel ni,apa lagi,kita buat iklan rambut cap ibu dan anak laaa.... Eh,macam nama ubat batuk plak..

    Sejarah dulu,Linda pernah terjatuh di tilam yang salah waktu acara lompat tinggi kat sekolah. So,sampai sekarang,tulang belakang Linda sakit kalau duduk lama-lama. Sebab tu,Linda tak selesa duduk lama-lama kat satu tempat. So,kalau jumpa Linda tengah duduk,pastu diri,pastu asyik betulkan kedudukan je...U all tau lah apa sebabnya yeee... :-)

    Saturday, October 4, 2008

    SALAM LEBARAN MINAL AIDIL WAFA IZIN

    SELAMAT HARI RAYA KEPADA PEMBACA BLOG LINDA !

    Alhamdulillah,kita bertemu dengan Syawal sekali lagi. Rasanyahari raya kali ni ,takde beza sangat bagi Linda. Seperti biasa,Linda balik ke JB. Tapi tahun ni Linda tak ke Singapura sebabkurang sihat. Raya pertama,Linda beraya sakan. Raya kedua,terlantar kat rumah je terima tetamu (hehe..). Raya ketiga dah masuk kerja kat ERA (dengan suara yang tak keluar sebab sakit tekak) :-P .

    Di pagi raya,kita berkumpul adik-beradik untuk bersalaman dan yang paling penting ialah memohon ampun dari kedua ibu ayah.

    Selamat hari raya ayah,ampunkan segala dosa Linda,halalkan makan minum dan doakan kejayaan Linda ye yah... Love u !!

    Then...salam ibu pulak...

    Selamat hari raya bu. Maafkan Linda zahir dan batin,maaf juga kalau Linda menyusahkan hati dan fikiran ibu. InshaAllah Linda akan jadikan ibu ...seorang ibu yang paling bahagia di muka bumi ini. Ameen.

    "Eh..eh...cincin Cik Yam...Amboi...berapa dollar ni harganya?"...

    Linda dengan 2 insan yang paling Linda sayangi dalam hidup...

    Lepas semua ahli keluarga bersalaman...kita bergambar satu famili ...

    Habis je bergambar dengan famili Along...datanglah satu rombongan famili kakak Linda. Huh!! Riuh rendah rumah ! Happening sehhhh ! Bila anak sedara semua dah berkumpul,apa lagi...aktiviti seterusnya ialah pembahagian harta...hehe...duit raya daaa....

    Gambar kat bawah ni,wajah-wajah tak sabar nak dapat duit raya.

    Kena pilih sampul huruf A hingga I. Salah satu sampul ni,auntie letak double duit raya !

    Bebudak ni,sebelum salam dan dapat duit raya dari Linda,diorang buat ucapan dulu... Antaranya berbunyi begini "Selamat hari raya auntie..Aiman doakan auntie sihat,kaya,cantik,baik,dapat suami baik dan auntie terus berjaya." Percaya tak? Percayalah....ucapan macam orang tua sehh....

    Hahahahahaha....pakcik kayoooooo !!

    Ni Linda tengok diri Linda sendiri kat TV..hehe. Program "Setahun Sekali Lagi Raya" di TV3. Di temubual oleh Lan Pet Pet. Kelakar gilerrrr.... Thank you TV3 !!

    Atok dan nenek Linda dah lama pergi ... Sebagai ganti,atok kepada kakak ipar Linda dijadikan atok yang paling Linda sayangi sekarang ni.

    Alaaa Tok.....boring ahh amik gambar senyum je...buat lah peace...peace yo ! Sporting atok !

    OK,dah puas pakai baju raya sehari,pada malam raya pertama,Linda dan famili ke rumah keluarga abang ipar Linda di Skudai. Makannnnn lagi !!

    Raya ...raya jugak... Main game bola...main game bola jugak ! kekeke... Kejap ye sayang,Mummy main game kejap... Hehe..macamana lah kalau Linda ada anak nanti...sure sibuk main game dengan anak plaks...

    Cuba teka,gambar mana yang Linda kalah,gambar mana yang Linda 'terkalah'.

    Hehe..Itu sajalah sebahagian cerita Linda beraya di JB. Lepas ni,nak amik cuti panjang dan inshaAllah,kalau ada rezeki,nak buat open house raya nanti... Selamat beraya !! Muahhhh !!