Linda-Fahrin Berdansa tapi tak Sehati....
Apa reaksi Linda mendapat tawaran mengacarakan Sehati Berdansa musim kedua ini?
LINDA: Mula-mula saya diberitahu akan digandingkan dengan seseorang dalam rancangan itu. Saya kata okey. Tak ada masalah. Yang saya terkejut saat-saat akhir produser beritahu gandingan saya tak jadi. Mereka terpaksa ambil orang lain. Saya terkejutlah kenapa artis itu tak jadi?
Bila dapat tahu Fahrin yang ganti terkejut tak?
Taklah. Tak rasa apa pun. Memang musim lepas saya digandingkan dengan dia dalam rancangan itu. Cuma bila orang yang sepatutnya jadi hos tak dapat, itu saja yang terkejut sikit.
Takkan sikit pun tak terkejut?
Memang tak ada. Lagipun nak kisah apa sangat. Apabila kita perlu melakukan sesuatu perkara itu dengan profesional, kita buatlah. Tak susah pun.
Dah jumpa Fahrin? Rancangan ini dah nak mula tak lama lagi.
Dah. Sebelum ini memang kami dah jumpa untuk buat rakaman promo, sesi fotografi dan sebagainya. Tapi bila di hadapan kamera, kita kena buat profesional. Kalau lepas habis penggambaran, buat hal masing-masing sajalah.
Apabila kita digandingkan sebagai pengacara, tentu saja kolaborasi itu memerlukan kita untuk berbincang. Bagaimana dengan Linda?
Seperti yang saya katakan, dalam hal kerja memang tak salah untuk kita berbincang. Itu sudah kemestian kerana kita nak pastikan rancangan itu kelihatan menarik. Tapi kalau tak ada kena mengena dengan kerja, tak payahlah nak bincang apa-apa.
Sebagai pengacara, mungkin Fahrin akan minta pandangan Linda untuk membantunya menjadi pengacara terbaik dalam rancangan itu nanti?
Musim yang pertama dulu dia tak pernah minta pandangan pun. Saya rasa yang kali kedua ni dia tak akan buat macam tu.
Ada orang kata Linda akan terbawa-bawa emosi dan kemarahan sebab ada sejarah hitam hubungan Linda dan Fahrin. Komen sikit!
Tak akan ada punya sebab saya sudah diberitahu awal. Jadi dari awal-awal lagi saya sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam rancangan ini. Bila ada tawaran saya tak perlu tolak hanya kerana masalah lepas. Saya sayang Sehati Berdansa kerana saya menjadi pengacara pertama. Tapi kalau orang nak buat tafsiran mengenai kisah peribadi, itu pandangan masing-masing. Saya no comment. Saya selalu pesan dalam diri saya supaya elakkan masalah peribadi ketika bekerja.
Mungkin akan nampak ketidakserasian di antara Linda dan Fahrin nanti?
Saya dah banyak buat rancangan TV. Kadang-kala dalam sesebuah rancangan tu saya tak selesa tapi hanya saya sendiri saja tahu tapi Alhamdulillah, orang lain tak nampak.
Apa yang hendak Linda katakan kepada Fahrin terhadap gandingan ini?
Rasanya tak ada nak cakap apa-apa.
Fahrin terkejut apabila nak digandingkan dengan Linda?
FAHRIN: Tak terkejut dan berterima kasih kerana terpilih lagi. Saya terima tawaran itu dan akan buat yang terbaik secara profesional.
Fahrin mampu buat?
Saya kenal diri saya dan saya tahu di mana saya berpijak. Tak ada sebab saya tak mampu nak kendalikan rancangan itu. Lagipun saya fikir juga, saya cari makan dalam bidang ini. Saya kena berlaku adil dengan diri saya dan buat yang terbaik.
Ada kelemahan yang Fahrin kesan dalam Sehati Berdansa masa musim pertama dulu?
Saya percaya kali kedua haruslah lebih baik dari yang pertama. Banyak ruang yang perlu saya perbaiki. Tapi kali ini dengan sokongan artis yang bertanding dan semua pihak, rancangan ini akan jadi lebih meriah.
Bagaimana pendirian Fahrin mengenai hubungan dengan Linda? Apatah lagi nak digandingkan pula dalam satu program.
Saya selalu kata yang saya ni seorang yang fleksibel. Kalau saya kata profesional, saya memang akan profesional. Sebenarnya saya ikhlas dan reda terhadap sesuatu perkara yang terjadi kepada saya. Saya bukan jenis orang yang bercakap sesuatu perkara pada hari ini tetapi kemudian hari tunjuk sikap yang sebaliknya. Dalam erti kata lain kita kata kita memaafkan seseorang tetapi sebenarnya di hati tak macam itu.
Ada jumpa Linda?
Ada. Masa bulan puasa lalu masa buat promo Sehati Berdansa. Kami jumpa dan buat tugas dengan baik. Saya juga tak ada masalah untuk bekerjasama dengan Linda kerana saya tahu pengalaman dia memang hebat daripada saya. Jadi dalam hal ini saya yang perlu mendapat bimbingan dia.
Adakah Sehati Berdansa ini akan memulihkan ketegangan anda berdua?
Tak boleh nak jawab soalan ini. Tapi saya boleh bagi jaminan, saya akan hadir dalam keadaan hati saya yang sangat jernih. Saya akan muncul tanpa ada apa-apa perasaan dendam kerana saya mahu ambil tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan kepada saya. Saya juga percaya kalau kita kata kita ni profesional tapi pada dasarnya tidak, wajah dan bahasa tubuh itu akan memberi gambaran tersebut. Ia tak boleh menipu. Nanti orang akan tahu juga.
Apa harapan selepas digandingkan semula dengan Linda?
Bukan saja kepada Linda tapi kepada semua team produksi dan juga peserta yang bertanding supaya jadikan Sehati Berdansa ini fenomena terbaik untuk musim ini.-PANCAINDERA@MINGGUAN MALAYSIA 12/10/2008-
"Kemenyan dalam lighter ni..." |
Penyampai radio popular tak mahu tuduh sesiapa, tapi percaya kewujudan makhluk halus
“SEBENARNYA kisah kemenyan dalam kereta Linda ni dah lama berlaku, kalau tak silap Linda sekitar Ogos lalu, sebelum masuk Ramadan. Tapi, kisah mengenainya Linda masukkan menerusi blog dalam bulan puasa, baru-baru ini. Linda bukan perokok, Linda juga tak pernah guna alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta, tapi nak dijadikan cerita, suatu hari tu, kawan Linda tumpang kereta Linda, dia ni seorang perokok. Dia nak hisap rokok, tapi tak ada lighter. Linda pun tekan alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta. Ketika itu kereta tak bergerak, berhenti tepi jalan.
Selepas beberapa minit, Linda dan kawan Linda terhidu bau kemenyan! Bau kemenyan semakin lama, semakin kuat. Selepas diamati dari mana datangnya bau itu, ia berpunca dari alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta Linda. Linda pun cabut alat pemanas pencucuh rokok itu. Alangkah terkejutnya Linda apabila mendapati deretan batu kemenyan sedang terbakar, batunya mencair menggelegak, meletup-letup! Apa lagi, asap kemenyan terus merebak satu kereta, bau kemenyan di merata-rata tempat dalam kereta. Melihat keadaan itu, Linda terfikir sejenak, macam mana batu kemenyan boleh berada dalam kereta Linda?
Linda tak sedap hati, sampai saja di rumah, Linda periksa kereta yang lagi satu. Sebaik saja alat pemanas pencucuh rokok di dalam kereta itu Linda tekan, bau kemenyan pun keluar! Selepas Linda cabut alat berkenaan, sekali lagi Linda perhatikan keadaan yang sama berlaku, batu kemenyan ditabur sekeliling alat pemanas pencucuh rokok itu, sama seperti dibuat pada kereta pertama.
Kesan kemenyan pada lighter kereta Linda. |
Perkara pertama yang berlegar di fikiran ketika itu, siapa punya kerja ni? Apa niat orang yang buat kerja macam ni? Bau kemenyan kuat sangat ni, berasap. Bau busuk satu kereta Linda! Anyway, Linda fikir positif saja. Linda sentiasa berdoa pada Tuhan, kalau ada sesiapa yang buat tak baik pada Linda, Linda minta diterbalikkan perkara yang tak baik tu kepada pihak berkenaan.
Kemenyan bukan isunya sekarang ini, tapi isunya ialah salah guna kemenyan itu ialah untuk melakukan amalan sihir terhadap orang lain. Tidak ada hadis melarang menggunakan kemenyan, tetapi ada hadis memberitahu bahawa syaitan, iblis dan jin jahat suka kepada najis dan bau-bau busuk.
Justeru, setahu Linda, pengamal ilmu sihir menggunakan kemenyan untuk memanggil syaitan supaya mengganggu orang tertentu. Pendapat yang mendakwa kemenyan adalah makanan syaitan bukanlah daripada al-Quran atau hadis, tapi ia juga adalah pendapat alim ulama kerana ia digunakan untuk menyeru syaitan.
Ada orang nak sihir Linda?
Masalahnya sekarang, ada pihak yang cuba mengenakan ilmu sihir ke atas Linda, mungkin kerana dengki, mengacau, geram atau sebagainya, entahlah... Perkara ini memang wujud. Tapi Alhamdulillah, Linda sedar awal. Harap Tuhan melindungi Linda dan seisi keluarga.
Perkara terakhir yang Linda fikir, macam mana nak bersihkan kemenyan dari alat pemanas pencucuh rokok ni, sekali gus menghilangkan bau kemenyan yang kuat. Sebelum Linda berbuat apa-apa, Linda telefon seorang ustaz. Dia memberitahu, ada pihak yang berniat tertentu terhadap diri Linda.
Linda benar-benar terkejut, pelik pun ada. Sebelum ini, tidak ada orang lain yang menggunakan atau meminjam kedua-dua kereta Linda, kunci kereta sentiasa berada di tangan Linda. Lagipun, kedua-dua kereta ini sentiasa ditempatkan di laman rumah Linda setiap waktu malam. Jadi, macam mana ada pihak boleh letak kemenyan berkenaan dalam kereta?
Linda rasa, kemenyan itu sudah melekat lama di alat pemanas pencucuh rokok dalam kereta. Tapi, Linda tak perasan sehinggalah Linda tekan alat pemanas pencucuh rokok itu.
Percaya kewujudan ‘mandrem’
Justeru, apabila berlakunya insiden seperti ini, bila-bila masa kita boleh syak sesiapa saja yang melakukannya, tapi amalan itu tidak sihat. Kita tidak boleh tuduh melulu tanpa bukti kukuh. Sekarang ini, kemenyan itu sudah pun dibersihkan dari alat pemanas pencucuh rokok berkenaan, bau pun dah hilang.
Tujuan Linda memasukkan cerita ini di dalam blog supaya orang ramai tolong jangan percaya kepada kemenyan. Semuanya adalah syirik, hukumnya berdosa besar! Namun, iktibar daripada kejadian itu, Linda perlu lebih berhati-hati, bukan saja dalam kereta, sebaliknya di rumah mahupun di tempat kerja.
Bukannya Linda nak percaya kepada benda-benda halus ini, tapi segala apa yang kita lakukan, perlu berwaspada. Linda percaya kepada kewujudan makhluk halus, ‘guna-guna’ atau ‘mandrem’ yang ‘dihantar’ pihak tertentu kepada seseorang dengan niat tertentu. Namun, Linda sentiasa berdoa setiap kali selepas sembahyang, minta dijauhi perkara-perkara yang dilaknati Tuhan.”
Rujuk semula dengan Fahrin?
Sebaik saja Linda menerima tawaran daripada Astro untuk mengacarakan Sehati Berdansa musim kedua (SB2) bersama Fahrin (Ahmad), Linda perlu bersikap profesional sekalipun bermacam-macam cerita orang bercakap mengenai hubungan Linda dan dirinya sebelum ini.
Orang kata Linda terkedu apabila mendapat tahu pasangan Linda, Fahrin dikekalkan, perkara itu tak pernah terjadi. Apa yang Linda fikir, Astro membuat tawaran, rezeki buat Linda. Lagipun SB adalah my baby show. Linda sudah menjayakannya pada musim pertama, justeru Linda ingin mengulangi kejayaannya pada musim kedua ini.
Segala soal peribadi, Linda tolak tepi. Bagi Linda, jangan sesekali memasukkan soal peribadi di tempat kerja. Linda dan Fahrin hanya berkomunikasi membabitkan hal-hal kerja, out of camera, kami buat hal masing-masing. Linda harap sangat dengan peminat di luar sana, janganlah bercakap lagi hal Linda dan Fahrin selepas ini, tolonglah...
Dalam erti kata lain, Linda minta sangat-sangat, jangan kaitkan kisah silam antara Linda dan Fahrin dalam pembikinan SB2 yang akan bermula sedikit masa lagi.”
Masih solo!
Linda sedar apabila Linda membawa teman lelaki ke majlis perkahwinan rakan sekerja Natasha Aimee baru-baru ini, ramai yang membuat pelbagai spekulasi, termasuklah mendakwa pemuda berkenaan ialah teman istimewa Linda.
Tapi, terus-terang Linda beritahu, pemuda berkenaan bukanlah seseorang yang istimewa di hati Linda seperti mana yang digembar-gemburkan.
Sehingga saat ini, Linda masih solo! Tidak terikat dengan sesiapapun...”
INFO: Linda Onn