Kembali berdansa
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
Fahrin dan Linda. |
Masih berdendam?: Nampak ceria tetapi mungkinkah hos Sehati Berdansa ini, Fahrin Ahmad dan Linda Onn, sekadar melakukannya di depan kamera?
MAHU atau tidak, persembahan untuk mengacara bersama di dalam program Sehati Berdansa musim kedua mesti diteruskan atas paksi profesionalisme. Perang dingin secara diam antara bekas 'teman tapi mesra', Fahrin dan Linda Onn nampaknya belum surut biarpun kisah mereka sudah terpahat dalam lipatan sejarah kehidupan masing-masing dan masih diperkatakan ramai pihak. Hakikatnya, siapa tahu mungkin antara Linda mahupun Fahrin sebenarnya sedang menahan duka, terasa hati atau senang dikelaskan sebagai 'makan dalam hati'
Ada yang beranggapan Linda dan Fahrin sudah mampu 'berdansa' atau dalam erti kata lain mampu mengacarakan program ini, cuma mereka dilihat tidak sehati. Bayangkan tulisan blog Linda yang secara bergurau menulis Sehati Berdansa bertukar menjadi Sehati Berdarah juga diandaikan dendam antara mereka belum terhakis.
Sewaktu melihat sedutan mempromosikan program realiti berorientasikan tarian yang membabitkan pasangan suami isteri di kalangan selebriti ini semasa sidang media pada 14 Oktober lalu, jelas kelihatan jarak kedudukan Fahrin dan Linda sedikit jauh mengukuhkan lagi mereka sebenarnya mungkin masih lagi menyimpan dendam. Bagaimanapun itu hanya andaian semata-mata, kerana hanya empunya badan yang mampu menjawab.
Baik Linda mahupun Fahrin, mereka akan cuba sehabis baik untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan pihak Astro untuk meneruskan kesinambungan dan ledakan yang diterima sejak program ini disiarkan pada tahun lalu. Kata mereka, biarlah soal peribadi tidak dicampur aduk dan masing-masing kena bersikap profesional dan matang sekali gus menceriakan program ini.
"Terima kasih kepada pihak Astro dan tenaga kerja Sehati Berdansa kerana masih memberi kepercayaan untuk saya menjadi hos biarpun saya kecewa dan ralat dengan apa yang berlaku di belakang saya sebelum ini. Mengenai apa yang patut saya tahu tetapi tidak, orang lain yang lebih tahu. Bagi saya, soal profesional akan diutamakan tidak kira sama ada di belakang kamera atau di depan kamera," ungkap Fahrin yang riak wajahnya kelihatan emosional seketika hingga mengundang tanda tanya.
Awal Ashaari, Linda dan Fahrin. |
'Jangan guna blog untuk serang saya'
ENGGAN dibiar tergantung, Hip mendapatkan Fahrin sejurus sidang media Sehati Berdansa Berakhir bagi meleraikan apa sekali alasan yang mengusutkan jiwa dan mengecewakan hati jantan bertubuh sasa ini. Jika sebelum ini, Fahrin lebih selesa berdiam diri dan hanya bercakap apabila perlu, saat itu, Fahrin tergerak hati untuk meleraikan sedikit rasa gundah gulana di sanubarinya mencengkam jiwa yang amat pedih.
Semuanya bertimbal balik kepada kenyataan Linda Onn bertubi-tubi sebelum ini, yang merasakan bagaikan 'tertipu' kerana pada mulanya dia bakal digandingkan dengan hos lain dan bukannya dengan Fahrin. Bagi Fahrin, dia melihat soal sulit dan peribadi sesuatu perkara sewajarnya tidak dihebahkan sebelum masanya.
"Saya tekankan saya adalah seorang manusia yang sangat profesional apabila bercakap mengenai aspek itu sendiri (merujuk kepada istilah profesional sendiri). Apabila saya berdiam diri, ada pihak lain yang cuba mengeruhkan keadaan di luar pengetahuan saya. Ya, saya sedikit kecewa dengan hal ini kerana paling jelas semakin hampir program ini bersiaran, kedudukan saya sebagai hos bagaikan sedikit tercalar.
Mungkinkah mereka masih belum berdamai? |
"Saya minta maaf, andai perlantikan saya sebagai hos program ini mengecewakan hati pihak lain. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan dia (merujuk kepada Linda Onn) itu sebenarnya tidak patut timbul sedangkan isu siapa sekalipun yang bakal menjadi hos sepatutnya menjadi sulit dan peribadi sebelum ia dihebahkan kepada umum. Itu satu tindakan yang tidak profesional dan saya sendiri hairan kenapa isu itu boleh tersebar. Isu itu sepatutnya tidak patut keluar daripada mulutnya.
"Saya jenis orang yang mudah, kalau saya jadi pilihan ke 10 sekalipun untuk menjadi hos, saya tetap akan lakukan demi satu tanggungjawab. Saya bukan jenis yang bersikap profesional hanya pada kenyataan saja, sebaliknya pada tindakan juga," ungkap Fahrin yang juga mengacarakan program Gadis Melayu di TV9.
Fahrin juga melihat setiap kenyataan yang terbit daripada Linda termasuklah penulisannya di dalam blognya, www.linda.blog.era.fm sebagai satu serangan yang bersifat peribadi dan sebagai manusia biasa, Fahrin tidak cepat melatah.
Menurut Fahrin, mandat sudah diamanahkan kepadanya untuk menghidupkan program Sehati Berdansa. Apa terjadi, Fahrin berjanji untuk mengacara sebaik mungkin biarpun terbit resah di hati mengenai keserasian yang bakal terpancar di antara mereka.
"Sekali lagi, jika saya mengundang masalah kepadanya dengan menjadi hos bersama, saya minta maaf. Cuma saya lihat dia agak kurang profesional dan agak kebudak-budakan apabila menjadikan medium blog sebagai peluang untuk menyerang secara peribadi. Saya tidak marah dengan apa yang tertulis di dalam blognya, kerana saya bukan manusia yang cepat marah.
"Fahrin tetap Fahrin. Saya tidak akan hipokrit dan akan terus melaksanakan tugas yang diberi. Apa yang saya fikirkan kini ialah untuk terus memberikan persembahan yang terbaik dalam aspek pengacaraan. Semua ini demi kebaikan Sehati Berdansa dan kerjaya saya sendiri," kata Fahrin yang agak kecewa melihat Linda berdepan dan menangani media terutama cara dia menjawab pertanyaan media.
'Hal rumah tangga usah bawa masuk pejabat'
KATA Linda penuh simbolik, hal rumah tangga usahlah dibawa masuk ke pejabat. Katanya lagi, kontroversi yang terjadi sudah disensasikan ramai pihak dan apa yang seharusnya dilakukan ialah melangsaikan tanggungjawab yang dipikul sebagai hos Sehati Berdansa.
"Terima kasih kepada pihak Astro yang sudi memanggil saya buat kali kedua. Biarlah hal peribadi di tolak ketepi. Apa yang penting ialah soal kerja, tidak kiralah sama ada di depan kamera mahupun di belakang kamera, perbincangan, mesyuarat atau apa sekalipun yang membabitkan program ini, saya dibayar gaji untuk bekerja," ungkap Linda memulakan bicara.
Bagi Linda, dia tidak mempunyai masalah untuk mengacara program ini kerana sejak musim pertama dia sudah digandingkan dengan Fahrin. Menurut Linda, masing-masing tahu apa yang perlu dilakukan dan dikehendaki. Menafikan ada perasaan kekok antara mereka, Linda menjelaskan apa yang ditonton penulis berhubung sedutan promosi program ini yang mengatakan posisi kedudukan mereka agak jauh daripada biasa seperti cuba menjauhkan diri, akui Linda, semua itu hanyalah tafsiran perasaan masing-masing.
Berpaksi kepada kehidupan nyata, Linda masih tegar dan kuat menjalani kehidupan serta berkat sokongan insan-insan paling rapat dalam hidupnya, dia masih 'bernyawa'.
"Antara saya dan dia (Fahrin) memang tiada masalah. Yang berlalu biarkan ia terus berlalu. Saya sudah lupakan semua yang terjadi. Hanya masyarakat dan pihak tertentu saja yang masih meletakkan tanggapan kami masih dilihat berpatah arang, berkerat rotan. Hidup masih kena diteruskan dan saya akan lakukan yang terbaik untuk program ini dan kehidupan mendatang.
"Sesudah apa yang saya hadapi dan depani apabila kisah peribadi disensasikan pihak media dan dipaparkan di alam maya, saya akui itulah saat yang sukar untuk saya. Orang menghentam saya seolah-olah saya tidak mempunyai hati dan perasaan. Saya bukan jenis manusia yang gemar berkongsi hal peribadi. Lagi berdiam diri, lagi teruk saya dihentam.
"Alhamdulillah, saya kumpul semangat dan dorongan keluarga, peminat dan teman-teman menjadi kekuatan meneruskan segala-galanya. Saya tak boleh menutup mulut orang untuk terus berkata-kata, sudah dijelaskan pun tiada guna. Saya buat saja bahagian (kerja) saya. Saya lebih berdiam daripada bercakap tidak tentu pasal biarpun hati ini tetap makan dalam," kata Linda yang yang akan bercuti selama seminggu di Indonesia.
Ditanya apakah Linda menjadikan saluran blognya sebagai senjata serangan untuk menyindir sesetengah pihak, Linda menjelaskan dia tidak mempunyai niat terselindung sebaliknya hanya sekadar mahu berkongsi diari kehidupannya bersama peminat dan pengunjung blog.
"Blog bagi saya lebih bersifat peribadi untuk saya kongsi apa saja yang terjadi di dalam hidup. Blog itu mencerminkan diri saya sendiri dan apa yang ingin saya luahkan untuk tatapan bersama. Kalau di blog sendiri juga ada sekatan, lebih baik saya tidak menjadi blogger. Saya tiada niat atau agenda lain dengan menulis blog," kata Linda.
INFO: Sehati Berdansa
- Sehati Berdansa musim kedua akan mula disiarkan di Astro Ria dengan episod pengenalan Kenali Sehati Berdansa mulai 18 dan 19 Oktober ini. Persembahan sulung 10 pasangan selebriti yang terbabit dapat disaksikan pada 26 Oktober, secara rakaman setiap hari Sabtu.
- Keputusan pasangan mana yang bakal tersingkir akan diumumkan secara langsung dalam Debaran Sehati Berdansa pada setiap hari Ahad.
- Selain Linda Onn dan Fahrin sebagai hos utama, Awal Ashaari juga dikekalkan sebagai hos bagi Di Sebalik Sehati Berdansa, Kenali Sehati Berdansa dan Memori Sehati Berdansa.
- 10 pasangan selebriti yang terbabit pada musim kedua ini ialah Amyza Adnan dan Khairil Izhar, Ani Mayuni dan Zairi Azmi, Asheed Def Gab C dan Sharifah Noor Shima, Jamal Jamaludin dan Noor Faridah, Khai dan Rosma, Mazin dan Ida Chairunisa, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin, Sasha dan Salyo, dan juga Sharil Arshat dan Noraini Morat.