Mampukah sejiwa, serasi?
Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT |
|
SEJAK dilaporkan 'putus' biarpun si gadis yang juga pengacara serta penyampai radio terkenal, Linda Onn ini tidak pernah mengaku bahawa dia dan aktor kacak Fahrin Ahmad ada hubungan cinta, bekas pasangan 'teman tapi mesra' ini seperti sudah berkerat rotan berpatah arang.
Seorang ke hulu dan seorang lagi ke hilir. Masing-masing membawa haluan sendiri dan kalaupun bertemu di majlis-majlis tertentu, pastinya tidak lagi duduk semeja.
Dan kelmarin, apabila program realiti TV tarian yang pernah dikendalikan mereka berdua semasa edisi pertama tahun lalu, Sehati Berdansa 2 mengumumkan sekali lagi menggandingkan pasangan yang pernah retak ini untuk berkongsi pentas sebagai pengacara bersama, timbul pelbagai persoalan. Mampukah mereka sejiwa dan serasi sedangkan hati masing-masing pernah bernanah?
Musim pertama Sehati Berdansa dimulai dan diakhiri ketika hati mereka sedang 'riang', itu semua maklum tetapi untuk musim kedua yang bakal disaksikan ramai pada 26 Disember ini, khalayak juga maklum bahawa mereka sebenarnya tidak lagi serasi dan tiada hati untuk berkongsi apa sahaja.
Seperti luka lama yang berdarah semula, perkara yang semakin cuba ingin dilupakan ini harus dijalani semula. Namun, atas dasar profesional dan rasional dengan kepercayaan yang dipikul, Fahrin bukan jenis lelaki yang panas dan mahu bertindak ikut rasa.
"Kalau saya cakap yang saya seorang yang profesional, maknanya saya profesional depan dan belakang. Atas apa yang berlaku (peribadi), saya sebenarnya kecewa dengan situasi sebelum ini.
"Saya juga minta maaf jika apa pihak yang kecewa kerana saya yang dipilih sebagai pengacara Sehati Berdansa 2 ini," luah Fahrin memahami jika isi hatinya ingin dikorek dengan lebih mendalam.
Soal kolaborasi kali ini yang menentukan impak Sehati Berdansa di mata penonton, Fahrin dengan rendah hati menjelaskan.
|
|
Katanya: "Benda ni dalaman, kalau ada hati yang jernih orang akan nampak. Saya seorang pelakon, saya anggap ini watak yang harus saya jayakan. Tapi hakikatnya, bahasa tubuh dan air muka tidak boleh menipu. Tentang pandangan orang, akan ada orang akan sedar, kerana sedikit-sebanyak mungkin saya jenis yang tak pandai menipu."
Menerima tawaran ini daripada Astro, Fahrin sebenarnya berterima kasih kerana kerjanya selama ini berbekas di mata semua. Janji Fahrin, kepercayaan Astro tidak mahu dipersiakan.
Ditanya sama ada Sehati Berdansa kali ini akan memulihkan hubungan tegang selama 'krisis' berlangsung, Fahrin yang tidak mahu memperincikan maksudnya sekadar meluahkan: "Saya tidak boleh jawab soalan ini, tapi saya boleh bagi jaminan, saya akan muncul tanpa ada apa-apa perasaan dendam kerana saya mahu ambil tanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan kepada saya."
Fahrin menegaskan, dia percaya kejayaan Sehati Berdansa 2 kelak bukan hanya ditentukan 100 peratus oleh pengacara tetapi seluruh krew produksi dan peserta terlibat.
Akhiri Fahrin, perkara yang privasi dan sulit, seharusnya bersifat begitu.
|
|
Tidak adil jika hanya membiarkan Fahrin mengemudi persoalan ini sendirian. Hos gandingannya, Linda yang tidak pernah lekang senyuman di bibir ini diambil keterangan.
Meleraikan persoalan yang seolah-olah kembali berkocak, Linda masih bertegas dengan prinsip yang dijunjung. Ujarnya, sejak dulu lagi, dia dan Fahrin hanya berkawan, jadi sekarang, antara dia dan Fahrin tidak wujud sebarang konflik.
Soal keserasian adalah soal dalaman yang hanya boleh diketahui dan boleh diatasi oleh tuan empunya badan.
"Saya tak boleh nak hentikan segala tanggapan orang lain walaupun hati saya sebenarnya berdarah. Apa yang saya luahkan sebelum ini dan tulis dalam blog adalah memang soal peribadi yang memang kena-mengena dengan dengan saya. Kalau di situ juga ada sekatan, saya tak tahulah.
"Tapi saya sedar, saya tidak boleh terlalu personal dalam meluahkan soal hati dan perasaan, takut akan disensasikan," jelas Linda yang tidak gentar untuk bekerja dengan Fahrin dalam musim kedua Sehati Berdansa ini.
|
|
Tidak mahu persoalan ini berjela-jela sedangkan ada tugas besar menanti untuk dijayakan, beritahu Linda, pegangannya jelas.
"Saya jadi semakin kuat dan kembali bersemangat dek banyak perkara yang terjadi. Jadi, ini adalah sebahagian daripada kerja yang harus saya selesaikan. Jadi kerja sahajalah. Tolak tepi segala hal peribadi.
"Kalau boleh, janganlah perkara itu disensasikan kerana kami datang ke sini kerana kerja," jawab Linda penuh semangat.
Sensasi Sehati Berdansa 2
Daripada kenyataan kedua-dua Linda dan Fahrin tersebut, awal-awal lagi program Sehati Berdansa sudah memercikkan tanda-tanya. Mungkin ini juga satu daripada resipi yang menjadikan menu Sehati Berdansa yang turut dihoskan oleh Awal Ashaari ini sedap ditonton tidak lama lagi.
|
|
Berbanding Linda dan Fahrin yang bertugas sebagai hos Malam Sehati Berdansa dan Debaran Sehati Berdansa setiap Sabtu dan Ahad, Awal pula masih meneruskan agendanya seperti pada musim pertama iaitu mengendalikan rancangan Detik Sehati Berdansa yang mendekati sesi latihan serta kesukaran para peserta memenuhi tuntutan tema tarian setiap minggu.
Untuk musim terbaru ini juga, Awal diberikan dua lagi tugasan tambahan. Selain Detik Sehati Berdansa, dia juga terlibat dengan dua buah program sampingan iaitu episod pengenalan program ini, Kenali Sehati Berdansa yang akan bersiaran pada 18 dan 19 Oktober nanti serta program penutup, Memori Sehati Berdansa yang dijadualkan tayangan pada 3 dan 4 Januari 2009.
Sesuatu yang mengejutkan juga, kerana jadual kerja yang menuntut komitmen yang banyak ini, Awal mengumumkan bahawa dia terpaksa menarik diri daripada terlibat dengan Impak Maksima The Musical.
"Saya terpaksa buat keputusan untuk melepaskan watak Ayie menerusi teater berkenaan memandangkan masa dan jadual kerja yang tidak mengizinkan. Saya juga belum bersedia untuk berlakon di pentas teater, rasa belum mampu," umum Awal ketika sidang media Sehati Berdansa 2 di ibu negara, Selasa lepas.
|
|
Untuk musim kedua program realiti tarian ini, seramai 10 pasangan baru dipilih sebagai peserta yang mewakili rumah kebajikan masing-masing.
Mereka terdiri daripada pasangan pelakon Amyza Aznan dan suaminya, Khairil Izhar yang mewakili Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia, Ani Mayuni dan Zairi Azmi (Majlis Kanser Nasional), Ashed Def Gab C dan Sharifah Noor Shima (Persatuan Pencinta Alam Malaysia), Jamal Jamaludin dan Noor Faridah (Pusat Kebangsaan Autism Malaysia) dan pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, Khai dan Rosma (Yayasan Kebajikan Haiwan Kebangsaan Malaysia).
Lima lagi pasangan yang turut serta termasuklah Mazin Ameen Siraj serta isteri Ida Chairunisa yang mewakili Persekutuan Orang Pekak Malaysia), Lisdawati dan Fauzi Nawawi (Rumah Nur Salam), Sabrina Ali dan Mohamad Shahrin (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia), Sasha dan Salyo (Persatuan Diabetes Malaysia) dan pasangan yang terakhir adalah Noraini Morat serta suaminya, bekas pemain bola sepak kebangsaan, Shahril Arsat yang menari untuk Yayasan Jantung Negara.